Thursday, November 12, 2009

Motivation 4: Mensyukuri Nikmat Allah

Tinggal satu semester lagi sebelum saya menanamatkan pengajian di universiti. Sejujurnya, sewaktu remaja, saya tidak sangat pun mengimpikan akan ke menara gading seperti sekarang. Dengan keadaan hidup yang agak sempit, memang keluarga langsung tidak mempunyai simpanan.Pendapatan dari tuaian padi setiap musim, setelah ditolak hutang piutang, yang tinggal hanyalah cukup sebelum bermulanya tuaian yang seterusnya. Tapi,atas usaha ibu yang tidak pernah putus usaha mencari wang untuk anaknya,untuk memastikan masa depan cerah yang walaupun dia mungkin tidak dapat menikmatinya, maka dapatlah juga saya menimba ilmu di ‘taman budi dan ilmu’.

Apabila saya memikirkan apa yang terjadi, saya ketawa keseorangan. Dari seorang lelaki yang tidak tahu banyak perkara dalam hidupnya, kini segalanya telah banyak berubah. Barangkali, inilah yang dikatakan nikmat Allah.

Sebagai manusia, tiada apa yang lebih penting dari mensyukuri nikmat yang Allah berikan. Itulah yang akan membawa ketenangan dalam hidup.Biar apa pun sisi kekurangan yang anda miliki, pasti ada keistimewean-keistimewaan yang Allah berikan yang membawa kepada kesyukuran. Anda mungkin tidak kaya, tapi anda dihormati, mempunyai hubungan baik dengan orang lain, mempunyai ramai kawan. Anda mungkin tidak terkenal tapi hidup anda tenang, dikurniakan isteri dan anak-anak yang soleh. Anda mungkin tidak sepandai orang lain tapi anda tahu anda telah berusaha dengan sebaiknya untuk mendapatkan ilmu dan and redha dengan ilmu yang diberikan. Biar sensara mana pun hidup anda, bersyukurlah dengan kehidupan yang ada adalah nikmat yang paling padat.

Melahirkan rasa syukur
Untuk betul-betul merasai syukur bukanlah selalu yang mudah. Saya sendiri pun sudah lama untuk cuba betul-betul merasa bersyukur dengan kehidupan yang dilalui. Ia bukan mudah, terutama apabila saya membanding hidup saya dengan orang lain, membayangkan bagaimana rasanya mendapatkan apa yang sepatutnya manusia normal dapat, ketengangan dan kegembiraan. Tapi, saya selalu katakan pada diri saya, seteruk mana pun hidup dan apa yang dirasa, tiada ruang untuk melepaskn diri dari kehidupan melainkan jika saatnya tiba. Hidup hanya perjalanan menuju ke dunia yang lain. Mahu tidak mahu perlu diteruskan dengan penuh kesabaran.

Pertama,mengetahui nikmat Allah
Walaupun sengsara mana pun hidup, anda sepatut sudah dapat melihat nikmat yang Allah telah anugerah. Paling utama tentulah kehidupan. Apabila anda bangun pagi anda bersyukur kerana masih mampu menyedut udara segar. Masih diberi peluang untuk beribadat ,menyediakan bekal buat dunia yang akan datang. Anda masih mempunyai ibu bapa untuk berlindung,mempunyai kawan untuk bercakap dan berkongsi cerita, mempunyai isteri yang sentiasa menemani hidup dan anak-anak yang menyenangkan hati.

Jika anda gagal untuk mengenal nikmat Allah, sudah pasti rasa kesyukuran tidak akan hadir dalam diri. Anda sentiasa merasa sedih dan tertekan denga kehidupan. Anda merasakan Allah memberikan kesengsaraan dan kesusahan sahaja. Akhirnya, anda hidup dalam keadaan kemurungan ,kesedihan dan tidak bahagia. Untuk mengenal nikmat Allah, tanyalah soalan-soalan ini kepada diri anda;

Adakah aku sekarang mempunyai cukup makan, dapat membekalkan isteri dan anak-anak dengan tempat berlindung, pakaian dan makanan?

Adakah hari ini aku mempunyai kesihatan yang baik untuk aku mencari ilmu dan berkerja?

Adakah aku mempunyai rakan-rakan yang dapat berkongsi cerita dan masalah?

Pernahkan aku ditimpa masalah yang dahsyat tapi kemudiannya merasakan pertolongan Allah terhadap masalah itu?

Adakah aku merasakan ketenangan selepas kehadiran seorang suami/isteri yang betul-betul memahami diri ini?

Jawapan kepada soalan-soalan tersebut akan membawa kepada kesedaran betapa begitu banyak nikmat yang Allah berikan, bukan kerana anda tidak tahu tapi kerana lalai, selalu sahaja membandingkan hidup anda dengan hidup orang lain yang lebih baik.


Kedua, Nikmat Allah Sentiasa ada
Malam itu ketika enak menjamu selera, saya didatangi rakan baik yang sudah lama tidak jumpa. Dahulunya,kami pernah berusrah bersama dan berkongsi minat yang sama, iaitu membaca. Kami bercerita tentang seseorang yang sudah pun habis belajar dan kini telah berkerja dalam bidang yang bukan dipelajari walaupun dia merupakan antara pelajar terbaik. Kata rakan saya,itulah rezeki tuhan. Ada dimana-mana. Ramai sahaja orang yang tidak baik kelulusannya tapi mampu mendapat kerja yang baik.

Mengerti yang nikmat tuhan sentiasa ada bermakna kita sentiasa tahu yang kelak Allah akan memberikan apa yang kita kehendaki jika kita terus berusaha dan bersabar. Setiap kali anda gagal mendapatkan apa yang dikehendaki,jangan mengiyakannya sebagai kegagalan tapi ia adalah sebahagian kepada jalan ke arah nikmat Allah. Jika anda berfikiran negatif,ia akan menjadi penghalang antara anda dan nikmat Allah. Sentiasa berfikiran positif dan sabar dalam mendapatkan nikmat Alllah. Insya-Allah, ia akan datang.


Ketiga, menggunakan nikmat sebaik mungkin
Apabila orang menceritakan tentang betapa gembiranya keluarga mereka, saya hanya mendiamkna diri. Tidak banyak benda gembira tentang keluarga yang saya boleh ceritakan. Setiap kali itu jugalah, saya bertanya,bagaimana perasaan jika saya berada kedudukan mereka?setiap kali habis exam mereka pulang penuh dengan kegembiraan.

Dalam banyak hal, kita akan sentiasa merasa dahaga jika kita tidak punya apa yang orang lain ada. Tapi setelah kita mendapatkannya, adakah kita betul-betul menunjukkan syukur dengan menggunakan dan menghargainya sebaik ynag mungkin?

Jika anda mempunyai peluang untuk belajar, gunakanlah sebaik mungkin sementara ia masih ada kerana masih ramai manusia-manusia yang mahu belajar tapi tidak punya peluang. Kesihatan yang ada hari ini gunakanlah untuk berkerja dengan tekun dan kuat untuk masa depan, kerana siapa tahu esok lusa anda mungkin terlantar sakit diatas katil.

Sebenarnya, saya melihat kita sebagai manusia sentiasa tidak menggunakan nikmat Allah sepenuhnya. Mungkin ini disebabkan kita alpa atau kurang faham dengan apa yang Allah mahukan dari kita. Jika kita sedar dan meggunakan nikmat itu sesuai dengan kehendak Allah, insya-Allah, nikmat itu akan bertambah dan kita akan merasa tenang dengan apa yang diberi.

Saya akhiri dengan mutiara kata, rasanya dari Iman Ghazali:
Kesusahan kalau dihitung-hitung akan bertambah, tapi kalau dilupakan akan terus hilang

::Faizalkhamis
::10:22 pm
::Thursday, November 12, 2009

No comments: