Saturday, December 29, 2018

Jejak Sejarah: Makam Sultan Muzaffar Shah 1

Assalamualaikum semua, 



Minggu lepas saya berkesempatan secara berseorangan menziarahi makam Sultan Muzaffar Shah 1, yang merupakan Sultan Kedah yang pertama. Ia terletak di Sungai Petani. Ini adalah makam rasmi yang disahkan walaupun pada saat tulisan ini ditulis, ada satu lagi Langgar atau Makam yang dijumpai di Kampung Bukit Berangan, Kuala Muda pada tahun ini dipercayai milik baginda. Di Makam yang dikenali sebagai Makam Diraja Kota Bukit Meriam ini dijumpai beberapa kubur lama yang salah satunya dipercayai milik Sultan Muzaffar Shah 1. Ini berdasarkan jenis batu nisan dan merujuk kepada buku sejarah kedah At-Tarikh Salasilah yang mencatatkan terdapat tiga orang sultan yang memerintah Kota Bukit Meriam iaitu Sultan Muzaffar Shah 1, Sultan Muadzam Shah dan Sultan Muhammad Shah dan ketiga-tiganya dikatakan dimakamkan di Langgar Kota Meriam.



Berbalik kepada makam rasmi tersebut, ia terletak tak jauh dari Tapak Arkeologi Sungai Batu. Namun agak mengecewakan kerana jalan masuk ke makam tidak diturap dan jalannya masih tanah merah dan berlopak-lopak. Agak risau ketika saya memandu dan agak perlu berhati-hati. Jika anda mahu datang ke sini dan tidak mahu menggunakan jalan tersebut, anda boleh guna jalan kampung yang berturap tetapi laluannya sedikit jauh dan kecil.




Makam ini menempatkan 5 makam didalamnya. Memandangkan tiada nama yang ditulis di makam, saya tak pasti yang mana satu makam  Sultan Muzaffar Syah 1. Namun kalau melihat kepada batu nisan, barangkali yang paling besar itu adalah makam Sultan Muzaffar Syah 1.



Baginda merupakan Sultan Kedah yang pertama. Nama asalnya ialah Maharaja Derbar  Raja II sebelum diubah kepada Sultan Muzaffar Shah 1 apabila memeluk Islam ditangan Sheikh Abdulah al-Qumairi. Memerintah Kedah dari tahun 1136m hingga 1179m. Jika dinilai, sejarah pengislaman Sultan Kedah ini jauh lebih awal dari sejarah kita yang mengatakan Islam datang ke Tanah Melayu dengan pengislaman Parameswara sekitar 1400m. Malah lebih awal dari batu bersurat Terengganu yang bertarikh dalam tahun 1300m. 

Anda yang berkelapangan, bolehlah datang melawat makam ini. Nasihat saya datang secara berkumpulan kerana kawasannya agak terpencil dan sunyi.


Relaxslah!!!
A Peacemaker
28 December 2018
10:40 pm