Saturday, November 9, 2019

Membaca: Motivasi dan Kaedah oleh Dr. Zaini Ujang

Kulit hadapan buku


Alhamdulillah, saya selesai membaca buku Dr. Zaini Ujang, Membaca: Motivasi dan Kaedah. Saya antara orang terawal mendapatkan buku ini melalui pra-jualan di laman sesawang Dr. Zaini Ujang. Oleh sebab itu, buku yang saya terima ditandatangi oleh Dr. Zaini Ujang dengan dakwat emas.

Tandatangan penulis dengan dakwat emas

Ini adalah buku pertama yang berkaitan dengan kaedah dan tatacara membaca yang pernah saya baca. Selama bertahun-tahun saya menjadikan membaca sebagai hobi, tidak pernah saya ambil tahu tentang teknik membaca dan cara meningkatkan tahap kecekapan dan kefahaman membaca. Yalah..membaca, baca sajalah. Apa susah kan.

Usai membaca buku ini, baru saya tahu yang ada teknik dan cara untuk kita menjadi pembaca yang effektif dan pada masa yang sama kualiti dan kefahaman bacaan tidak berkurang. Malah akan meningkat sekiranya dilatih.

Dalam buju ini, penulis menerangkan tentang budaya pembaca dalam masyarakat malaysia dan perbandingan dengan masyarakat maju yang lain contohnya masyarakat jepun dan eropah. Kemudian, penulis membawa tentang kepentingan membaca, mitos-mitos membaca, jenis-jenis bacaan seperti buku, novel dan majalah dan yang paling penting objektif membaca.

Juga diterangkan waktu sesuai membaca berdasarkan objektif-objektif membaca. Contohnya, anda boleh saya membaca buku yang santai seperti novel ketika menunggu kedatangan bus. Tapi keadaan tersebut mungkin tidak sesuai untuk anda menbaca buku-buku yang berat yang memerlukan berfikir dalam keadaan yang tenang.

Seterusnya, penulis menjelaskan teknik-teknik membaca berdasarkan kepada jenis bahan bacaan. Pada saya, inilah bahagian dalam buku ini yang penting kerana ia akan menentukan betapa effektif dan berkualiti pembacaan kita. Yalah, sebagai peminat buku, saya semestinya mahu menghabiskan buku dengan cepat dan pada masa yang sama memahami apa yang dibaca. Penulis juga tidak lupa untuk mengajak pembaca menyertai kelab-kelab membaca seperti Malaysia Book Club untuk mengembangkan pemikiran dan berkongsi pandangan dengan orang lain. Penulis juga menyarankan agar pembaca menjadi penulis bagi mengembangkan dan menyumbangkan idea kepada masyarakat.

Bahagian yang paling terkesan kepada saya ialah bahagian dimana penulis menerangkan kepentingan membaca. Salah satunya ialah membaca memberi petunjuk kehidupan dan membuat anda rasa gembira. Dan ini ialah salah satu sebab kenapa saya suka membaca sejak di zaman sekolah sehingga sekarang. Ia menjadi petunjuk dikala saya kehilangan arah tujuan dan membuat saya rasa gembira dikala saya keseorangan.

Kulit belakang buku

Jika anda memang menjadikan membaca sebagai hobi, buku ini memang perlu anda baca bagi meningkatkan kualiti bacaan dan mengembangkan potensi diri anda.


Relaxslah!!!
A Peacemaker
Pulau Pinang
09 November 2019
10:26 pm

Saturday, October 19, 2019

UUM Rainforest Trail Run 2019 (UUMRTR 2019)


UUM Rainforest Trail Run (UUMRTR 2019)
Date: 21st September 2019
Time: 7.00 am
Distance: 12Km (Competitive Run), 5Km (Fun Hike)

Medal larian

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Post kali ni saya nak review tentang acara trail run, UUM Rainforest Trail Run 2019 (UUMRTR 2019). Ini adalah larian trail kedua saya selepas Gunung Jerai International Challenge 2013. Saya memang jarang menyertai trail run berbanding marathon (on road).

Masjid UUM

Dan ini adalah kali pertama juga saya memasuki kampus UUM, Sintok. Bila tengok adik-adik UUM ni, teringat zaman saya di UIA dulu. Saya tersenyum. Adik-adik yang masih muda, banyak perkara lagi yang perlu ditempuhi dan harap-harap mereka buat yang terbaik di zaman universiti mereka. Nasihat saya kepada adik-adik: berkawanlah dengan semua orang, tidak sombong, hubungkan sillaturahim dan mempunyai matlamat apa yang mahu dicapai dalam hidup.

Berbalik kepada UUMRTR 2019 ini, ia bermula di Stadium UUM. Peserta larian 12km dilepaskan terlebih dahulu dan kemudian disertai perserta 5km. Kesemua peserta seramai lebih kurang 200 orang. Saya menyertai acara 12km. Laluan larian melalui beberapa jalan utama di UUM sebelum memasuki kem PLKN yang agak mendatar dan ke kawasan hutan yang berbukit bukau yang merupakan sebahagian daripada kawasan UUM.

Memang dari awal lagi, saya sudah menjangkakan ia akan menjadi sukar buat saya memandangkan tiada persiapan yang saya lakukan dan larian trail bukan kebiasaan buat saya. Ternyata, apa yang berlaku lebih memeritkan. Laluan bukitnya agak mencabar. Ada yang cerun sehingga 45 degree menuju ke puncak. Ada beberapa bukit yang perlu didaki. Ia pada saya pengalaman yang amat mencabar dan memeritkan. Laluannya memang menguji ketahanan fizikal dan mental. Dan saya banyak berjalan sahaja sepanjang pendakian sehinggalah ke garisan penamat. Nasib baik masih bawah cut off. Fuhh.

Pada pandangan saya, ia satu acara yang baik dari segi menguji ketahanan mental dan fizikal bagi orang kebanyakan. Saya pernah rasa perit larian marathon 42km tapi trail run ini lagi memeritkan. Keduanya, keindahan alam semulajadi sesuatu yang harus dihayati. Ketiga, committee member yang terdiri daripada adik-adik siswa-siswi yang mesra dan friendly. Ketiga, saya harapkan acara ini diteruskan tahun hadapan dengan jumlah penyertaan yang lebih ramai dan lebih banyak makanan/minuman di checkpoint dan garisan penamat.


Laluan larian

Hutan

Saya sebenar sewaktu dalam larian merasakan nekad tidak mahu menyertai mana-mana trail run kerana ia sangat memeritkan. Tapi, selepas habis acara, saya sedar kepenatan dan keperitan itu satu nikmat dan cabaran yang perlu dihadapi dan larian seperti ini memerlukan persediaan. Insya-Allah, tahun depan saya akan menyertai lagi acara ini. Anda pun patut mencuba tahun hadapan!

Sekian, terima kasih.


Relaxslah!!!
A Peacemaker
Bangi, Selangor
19 October 2019
6:14 pm

Sunday, September 15, 2019

Cerita Elon Musk

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Hari ni saya nak mengulas dan berkongsi tentang sebuah buku yang telah pun saya habis baca beberapa minggu yang lalu. Ia adalah buku autobiografi Elon Musk yang ditulis oleh Ashlee Vance.


Fakta tentang buku ini, penulis Ashlee Vance mengambil masa selama dua tahun untuk melengkapkannya. Ia termasuklah menemuramah Elon Musk sendiri, isterinya, teman-teman rapatnya, bekas pekerjanya, bekas rakan-rakan kongsinya dan individu-individu lain yang pernah berhubung dengannya. Jadi, buku autobiografi ini agak baik untuk dibaca kerana Elon ada terlibat dalam memberi maklumat tentang kehidupannya.

Jadi, disini saya nak kongsikan beberapa perkara buat makluman dan iktibar kepada kita semua.

1. Kewarganegaraan - Elon Musk adalah warganegara Amerika Syarikat. Walaubagaimanapun, dia sebenarnya berasal dari Afrika Selatan dan berhijrah ke Kanada pada usia 17 tahun dan kemudian Amerika Syarikat pada 1992 untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perniagaan dan fizik di Universiti Pennsylvania. Walaupun berasal dan dibesarkan di Afrika Selatan, keluarga sebelah ayahnya adalah berasal dari Amerika Syarikat dan dengan itulah dia boleh mendapatkan kerakyatan negara tersebut. Keluarga sebelah ibunya pula adalah berasal dari Eropah.

2. Pengasas beberapa syarikat - Elon Musk terkenal sebagai pemilik pembuat kereta elektrik Tesla and syarikat aeroangkasa Space-X, tapi kesemuanya itu bukanlah syarikat pertama yang diasaskannya. Dia pernah mengasaskan beberapa syarikat dan menjualnya untuk mendapatkan keuntungan - antara yang terkenal adalah Paypal (X.com) yang diasaskan bersama beberapa orang kawan yang lain, selain Zip2 dan Neuralink.

3. Bakat - Pada saya Elon Musk adalah God-gifted. Maknanya, dia memang dari kecil dilahirkan dengan kebijaksanaanya. Buktinya pada usia 12, beliau sudah menulis code untuk permainan komputer dan disiarkan dalam akhbar tempatan. Juga, sewaktu dia pulang dari perbincangan pembelian roket yang gagal dengan syarikat swasta Russia, ketika berada dalam kereta, dia menunjukkan pelan lukisan pembinaan roket. Rakannya terkejut kerana pelan itu sangat detail. Bila ditanya bagaimana dia tahu itu semua, katanya dia telah membaca buku-buku berkaitan roket yang dipinjamkan olehnya dari rakan. Maknanya, dia memahami macam mana nak membina roket hanya berdasarkan buku yang dibaca. 

4. Pencinta Ilmu - Disebutkan didalam buku ini, Elon Musk memang cintakan ilmu. Selepas waktu sekolah, dia akan ke perpustakaan untuk membaca buku-buku berkaitan sains. Disitulah dia mendapat inspirasi, semangat dan idea untuk membangunkan sains. Kekusyukannya terhadap pembacaan sehingga dia seriangkali dingatkan dan diusir keluar dari perpustakaan apabila waktu operasi sudah pun habis and hendak ditutupkan. Ini membukti, kebijaksaan sahaja tidak cukup tanpa berusaha mencari dan meningkatkan pengetahuan ilmu.

5. Pernah dibuli - Elon Musk sering dibuli sewaktu sekolah sehingga dia mengangggap itulah perkara paling teruk pernah berlaku dalam hidupnya.

6. Kerja keras - Apa yang dia dapat hari adalah hasil kerja kerasnya. Malah, sehingga sekarang pun, dia masih mengekalkan rutin kerja yang sama. Kadang-kadang dia akan balik lewat malam dan tidur dipejabat jika terdapat hal-hal yang penting. Ini membuktikan kejayaan tidak dapat dengan mudah. Ia memerlukan kerja keras yang berterusan walaupun anda adalah boss.

7. Sikap yang tegas - Ini mungkin agak mengejutkan dan ia mengesahkan apa yang pernah saya dengar tentang sikap CEO syarikat-syarikat besar. Begitu juga dengan Elon, beliau agak tegas dalam mesyuarat dan kadang-kadang menggunakan perkataan-perkataan kotor untuk memarahi staf-stafnya. 

8. Krisis - Antara yang paling kemuncak dalam kerjaya Elon ialah pada tahun 2008 (kalau tak silap) ketika Tesla berada dalam krisis kewangan dan memerlukan bantuan. Pada waktu itu mereka tidak mempunyai peruntukan untuk mengeluarkan kereta elektrik dan memohon dana dari kerajaan Amerika Syarikat. Setelah berjaya mendapatkan bantuan kewangan, dia dikecam ramai penganalisis kerana mereka beranggapan dana yang diberikan kepada Tesla akan menjadi sia-sia dan dia akan gagal. Ini memandangkan teknologi kereta elektrik pada waktu itu masih baru dan keyakinan pembeli lemah. Penganalisis beranggapan yang Tesla dan Elon Musk akan muflis. Namun, sebaliknya berlaku dan Tesla berjaya untuk menjual kereta dan cukup untuk membayar balik bantuan kewangan kepada kerajaan Amerika Syarikat lebih awal dari waktu yang sepatutnya.

Sekadar itulah saja pengkongsiaan saya. Jika anda mahu mendapatkan manfaat yang lebih mendalam, bolehlah membaca buku ini. Ia cerita yang memberi inspirasi.

Sekian, terima kasih.


Relaxslah!!!
A Peacemaker
15 September 2019
4:00 pm

Sunday, July 7, 2019

Mencari Sinar Mentari (Bahagian 2)

Mencari Sinar Mentari (Bahagian 1)

June 2007,
Alor Seter, Kedah

"kringggggggggggggggggggggg"

Bunyi loceng bas membangunkan Amar dari lamunan jauhnya ke luar tingkap. Dia melihat jam ditangan. Ia sudah menunjukkan pukul 8.45 pagi. Ini bermakna sudah hampir 45 minit bas berlalu pergi setelah meninggalkan Stesen Bas Shabab Perdana. Setelah sampai di stesen bas itu pada pukul 5:30 pagi tadi, dia terus ke surau untuk bersolat. Dan kemudian bersarapan sehingga pukul 7.00 pagi dikedai berdekatan. Dia terpaksa menunggu sehingga jam 8.00 pagi kerana itulah bas paling awal yang akan membawanya pulang ke kampung.

Memang agak letih kerana terpaksa menunggu sehingga pukul 8.00 pagi, apatah lagi dia memang tidak tidur dalam bas express sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur ke Alor Setar. Namun dia tiada pilihan. Untuk naik teksi, agak mahal. Mahu suruh saudara mara datang mengambilnya, dia segan.

Kelihatan seorang wanita meluru ke hadapan.

"Encik, encik berhenti kat pokok tu"
           
           "Ya, baik-baik" Balas pemandu bas.

Selang beberapa saat selepas itu, bas berhenti betul-betul dihadapan sebuah pokok dan wanita tersebut menuruni tangga bas disusuli anak lelakinya. Berhati-hati dia membantu anaknya yang berusia lebih kurang 3 tahun menuruni tangga itu.

Bas bergerak. Udara segar pagi menerjah masuk ke dalam bas melalu tingkap yang dibuka. Disebelah kanannya terbentang indah sawah padi mengguning dan sebahagiannya sudah pun dituai. Amar tersenyum tatkala udara segar pagi dengan bau sawah padi membelai wajahnya. Dia rindukan keadaan itu, Ia mengingatkan zaman kanak-kanaknya. Sekali-sekala bunyi juat deruan enjin bas yang kedengaran dari bas. Maklumlan bas lama, tiada air-cond, malahan cermin tingkap masih seperti dia zaman 80-an.

"Eh, dah nak sampai" Detik hati amar.

Bas melewati jambatan merentasi Sungai Korok sebelum melencong sedikit ke kanan melepasi sebuah restoran. Dari jauh, Amar sudah dapat melihat pokok berhampiran sebuah kedai. Ia tempat kebiasaan bagi pemandu bas menurunkan penumpang di Pekan Air Hitam memandangkan tiada perhentian bus disitu.

Amar menekan loceng 200 meter sebelum tempat biasa bas berhenti. Teragak-agak dia kerana jika dia menekan terlalu awal, atau terlalu lewat, mungkin bas akan berhenti ditempat lain.

Bas berhenti sedikit melewati tempat kebiasaan. Amar mengambil beg galas dan beg jinjing menuruni tangga belakang bas. Pada masa yang sama sebuah keluarga menaiki bas dari tangga hadapan. Setalah bas berlalu pergi, Amar ,melintas keseberang jalan menuju selekoh ke jalan untuk pulang ke rumahnya.

Jarak dari selekoh itu ke rumahnya kira-kira 2 kilometer. Dia berkira-kira, mahu menelefon jiran agar memberitahu ibu untuk mengambilnya dengan motosikal atau dia berjalan sahaja seperti biasa dilakukannaya. Akhirnya, dia mengambil keputusan untuk berjalan sahaja. Ia juga kerana matahari masih belum terik.

Tatkala Amar berjalan, dia dikejutkan dengan sapaan seseorang.

"Assalamualaikum, baru sampai ka?"
           
             "Waalaikumusalam, Oh, Abang Mad. Ya baru sampai" Balas Amar.

"Ni balik dengan sapa? jom naik. Abang pun nak balik rumah ni"

              "A'ah,boleh" Jawab Amar.

" Jom lah naik"

Amar membonceng dibelakang motorsikal EX5 yang ditunggang oleh sepupunya itu dan beberapa minit kemudian mereka sampai dirumah.


********************************************************************************

"Mak, padi dan ambik dah?" 

        "Dah. Duit padi pun dah abis, bayaq padi, bayaq teraitor, bayaq hutang sana-sini, habis" Balas ibu Amar.

"Padi ok ka musim ni? Abang Mad cakap tadi banyak orang yang dapat kurang"


        "Memang pun, padi angin. Duit padi pun lepas hutang dan lebih sikit ja. Tunggu subsidi la nak belanja sebelum musim padi nanti." Jawab ibu Amar.

Kali ini balasan ibunya disertai keluhan yang Amar sememangnya mengerti. Orang mengerjakan sawah begitulah. Kadang-kadang menjadi, kadang tidak. Namun, hidup perlu diteruskan demi sesuap nasi dan membesarkan anak-anak.

Sejak bapanya meninggal dunia beberapa tahun lalu, sawah itulah menjadi punca pendapatan keluarganya. Ibunya memang sejak remaja lagi sudah biasa mengerjakan sawah jadi tiada rasa janggal untuk dia turun ke sawah setelah kematian suaminya. Cumanya, Amar kadang-kadang rasa bersalah kerana sepatutnya sebagai anak lelaki sulung, dialah yang perlu mengambil tanggungjawab menjaga ibu dan 4 orang adiknya yang lain. 

" Hang pi sambung mengaji la. Lagipun keputusan periksa hang baguih, ada peluang untuk hidup yang lebih baguih. Takkan hang nak jadi macam ni sampai bila-bila." Terngiang-ngiang lagi kata-kata ibunya tiga tahun yang lalu.

Alhamdulilah, nasiblah dia mendapat biassiswa kerajaan dan dia tidak perlu langsung bergantung kepada ibunya. Malah, kadang-kadang ada lebihan duit untuk diberikan kepada ibunya dan adik-adiknya untuk persekolahan mereka.


"Eh, Kamal, Hisyam & Farid mana mak?"

        "Dok tidoq lagi tu" Ujur ibunya.

"La dah pikui sepuluh dok tidoq lagi"

       " Depa kalau cuti memang bangkit lewat. Hang pi gerak depa sat. Ambil air sejuk jiruih sekali.
" Selorah ibunya.

" Siti ada balik mak?

        "Bulan lepas dia ada balik dua minggu. cuti sekolah."


Amar terus bangun menuju ke suatu sudut dimana menempatkan kelambu tidur adik-adiknya.

"Bangkit!!!Bangkit!!..malu kat lembu..lembu pun dah bangkit...hahaha"


*********************************************************************************

Mid Valley, Kuala Lumpur

"Sha, ko pilih majoring course pe hari tu?" Tanya Syira

          "First choice aku bioengin. Sebab banyak hafal subjek bio. Aku suka hafal" Ujur Aisha.

"Yeke? bukan ko bagitau aku kau tak suka menghafal.."

          "Dulu lain. Sekarang ni lain. Lagipun lebih baik menghafal dari aku ambik majoring engineering yang lain. Tak minat la"
       

            " Ha, ko pula pilih apa?"

" Comm...senior cakap senang sikit compare dengan majoring lain"

           "Maybe...anyway, semua benda kena usaha kot"

"Parent ko cakap apa dengan choice ko"

           "Ayah aku tak kisah, asal aku score je. Insya-Allah, kalo result aku baik nanti, ingat nak ja jadi lecturer kat situ"

"Insya-Allah, ko hebat...aku doakan impian ko."


Beberapa minit kemudian, kelibat Syahidah mula kelihatan. Hampir 15 minit mereka menunggu di restoran makanan segera KFC sementara menanti waktu tayangan filem terbaru incredible hulk yang akan bermula pukul 2:30 pm.

Sementalah Syahidah baru sampai, perbincangan mereka semakin rancak tentang pemilihan majoring kursus kejuruteraan. Mereka dan pelajar-pelajar sebaya mereka sudah mencongak-congak pemilihan majoring sejak beberapa bulan yang lepas

Modul pengajaran di Universiti ini agak berlainan. Setelah pelajar menghabiskan maksimum 2 tahun program matrikulasi, mereka memasuki kampus Utama. Di kampus Utama, pelajar akan melalui setahun pembelajaran subjek-subjek asas kejuruteraan yang merangkumi pelbagai bidang seperti lukisan kejuruteraan, programming, manufacturing workshop dan elektronik system sebelum boleh memilih majoring dihujung semesta kedua. Mereka hanya akan memulakan pengajian majoring kejuruteraan pada tahun kedua pengajian selama tiga tahun.

Dari satu sudut, ia bagus kerana pelajar-pelajar didedahkan dengan berbagai-bagai bidang kejuruteraan dan mereka boleh bidang mana yang sesuai dengan kemahiran dan kepandaian masing-nmasing. Namun, dari satu sudut, ia agak membuang masa kerana setelah mereka majoring, mereka tidak akan lagi menggunakan kebanyakan skill atau pengetahuan yang mereka belajar untuk pembelajaran seterusnya.

"Hey Korang, jom la...dah pukul dua" Ajak Syahidah.

        "Sha, sapa lagi yang ko kenal pilih bioengin macam ko" Tanya Syira

                  "Course ni banyak perempuan. Jadi memang aku kenal la banyak juga pilih" Ujur Aisha.

" Kalau lelaki, ada sapa yang ko kenal" Syira menyoal lagi.

          "Setahu aku Ahmad.. yang lain entahla...ko tahu kan aku bukan kenal sangat pun lelaki. Course ni memang tak banyak laki."

"Rugi la ko, tak dapat wusha laki" Usik Syahidah.

           "Eh, gatal la ko ni. Jomlah masuk wayang" Balas Aisha.

Mereka bertiga bangun dan terus berlalu pergi menuju ke panggung wayang yang akan bermula tidak lama lagi.


Relaxslah!!!
A Peacemaker
07 July 2019
12:26 am

Sunday, April 21, 2019

Masa Hadapan & Lampau

Melihat kehadapan,
Penuh harapan,
Digalas peranan,
Tanpa alasan.

Azam dihati,
Mahu berdikari,
Berjalan sendiri,
Biarpun mati,

Namun,

Belum pun bergerak,
Hati bergolak,
Risau onak,
Datang kelak.

Akhirnya,

Undur jua,
Tidak kemana,
Disitu juga,
Tidak ada apa-apa.

Menoleh belakang,
Kesal kekadang,
Hal berulang,
Yang dikenang.

Manusia biasa,
Silap sentiasa,
Perbetulkan ia,
Jangan sia-sia.

Saudara,
Saudari,

Hidup ini ujian,
Jangan takut masa hadapan,
Jangan sesal masa lalu,
Melangkah kehadapan dengan tenang,
Melihat kebelakang dengan pengajaran,
Allah sentiasa bersama kita,
Biarpun kadang kita terlupa akan Dia.


Relaxslah!!!
A Peacemaker
21 April 2019
11:47 pm