Saturday, March 11, 2017

Perkongsian Pengalaman Umrah 2017

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Alhamdulilah, akhirnya saya selamat pulang ke Malaysia setelah selesai menunaikan umrah di tanah suci. Ia suatu kesempatan yang sangat bermakna buat saya yang pertama kali mengerjakan umrah.


Berfikir sejenak, sebenarnya saya menganggap peluang mengerjakan umrah ini lebih kepada jemputan Allah SWT untuk ke tanah suci. Kerana perancangan saya untuk ke tanah suci bukanlah dalam masa yang terdekat kerana kekangan kewangan memandangkan saya ingin membawa ibu sekali ke tanah suci. Pada permulaannya, saya merancang untuk ke negara lain bagi menenangkan diri sendiri dan meneroka benda baru. Destinasi yang saya ingin tuju adalah negara-negara di ocenia - sehinggalah seorang teman saya mencadangkan mengapa tidak saja saya ke tanah suci, mengerjakan umrah. Ia adalah lebih baik bagi menenangkan jiwa dan perasaan.

Tanpa banyak berfikir, iaitu pada pertengahan December 2016, saya terus mendaftar untuk mengerjakan umrah di laman sesawang Andalusia. Dan beberapa hari selepas itu saya menerima panggilan dari pihak Andalusia tentang pemilihan tarikh untuk ke tanah suci serta dokumen-dokumen yang perlu disertakan. Alhamdulilah, tarikh yang saya pilih adalah 09 Feb - 20 February 2017.

Penerbangan dengan Air Asia X pada pukul 5:00 pagi pada 09 Feb 2017 dan mendarat di Lapangan Terbang Jeddah pada pukul 10.00 pagi waktu tempatan. Kemudian kami bertolak ke Mekah dengan bas yang memakan masa satu setengah jam. Di mekah, kami menetap di Hotel Heraa Palace sehingga 16 February sebelum bertolak ke Madinah. Di Madinah, kami menetap di hotel Mawaddah An-Noor and Mawaddah al-Waha.

Di Masjid Nabawi. Di Pintu Babus Salam yang menuju ke Raudhah dan Makam Baginda Rasullulah SAW

Saya disini tidaklah mahu menukilkan apa yang dilakukan sepanjang berada di kota Mekah al-Mukaramah dan kota Madinah al-Munawarah. Ini kerana, hampir semua pakej umrah menawarkan aktiviti yang sama - iaitu bimbingan umrah (3 kali - miqat di Qarnul Manazil, Tanaim dan Ja'ranah), lawatan ke Muzium Hudaibiyah, Gua Hira', Jabal Uhud, Masjid Quba dan sebagainya.

Cuma saya berpeluang untuk menyertai lawatan tambahan berbayar (200 riyal seorang) ke Taif yang jaraknya mengambil masa hampir 2 jam dari Mekah. Memang sejak di Malaysia lagi saya sudah dimaklumkan yang ada lawatan tambahan ke Taif dan sejak itu memang saya berazam untuk ke sana. Ia memang tidak rugi. Kami melawat beberapa tempat bersejarah. Antaranya, Masjid Khurk(Siku), tempat dimana Baginda Nabi Muhammad SAW berehat selepas dihalau dan dilempar batu oleh penduduk Taif. Difahamkan, semasa berehat, Baginda Nabi telah meletakkan sikunya disebuah batu dan dengan IzinNya batu itu menjadi lembut dan berlekuk. Batu berlekuk itu masih wujud hingga sekarang namum telah disimen oleh Kerajaan Arab Saudi atas sebab-sebab tertentu. Kami juga berpeluang melawat makan dan Masjid Abdullah Ibn Abbas selain kilang pemprosesan minyak wangi bunga ros dan terakhir Masjid Qarnul Manazil (Miqat).

Masjid Abdullah Ibn Abbas
Di Miqat Qarnul Manazil

Alhamdulilah, saya juga telah buat umrah badal buat arwah ayah saya yang telah kembali ke rahmatullah empat tahun lepas.

Jadi, disini saya ingin berkongsi beberapa pandangan dan pendapat saya hasil dari umrah tersebut.

1. Kepada generasi muda, kalau mampu pergi umrah dulu.
Buat generasi muda, kalau mampu pergi umrah dulu instead of pergi melancong ke tempat lain. Kalau dah berkahwin lagi bagus. Kalau bujang especially lelaki, tak da komitment lain dan mampu, better fikir untuk ke umrah. Perempuan bujang mungkin susah sikit sebab perlukan mahram. Saya sendiri pun pergi seorang diri tanpa ditemani ibu mahupun sanak saudara yang lain. Yalah, bajet pun untuk diri sendiri saja. Pergi umrah pada usia muda adalah bagus, sebab at least ia dapat recharge dan mantapkan pegangan agama kita.

2. Jemaah berpusu-pusu ke masjid
Di sana, orang berpusu-pusu ke masjid dan nak berada di saf depan. Di Masjidil Haram contohnya, sebelum solat bermula, jemaah yang dah line up dihadapan sekeliling Kaabah terpaksa berpegangan tanya supaya saf tak dipecah masuk oleh jemaah lain yang baru nak masuk saf dari melakukan tawaf. Kalau jemaah lain masuk, alamatnya sempitlah ruang nak solat nanti. Di Malaysia, kadang-kadang, masing-masing pelawa orang lain untuk ke saf depan.

3. Perjuangan menyebarkan Islam bukan mudah
Sewaktu saya di Madinah dan ketika melawat makam Baginda Rasullulah SAW, terfikir saya yang betapa perjuangan Rasullulah dan sahabat-sahabat dalam menyebarkan Islam bukan mudah. Antaranya di Taif dimana Rasulllulah di Baling Batu sehingga berdarah. Juga perjalanan Rasullulah dan sahabat-sahabat ketika hijrah dari Kota Mekah ke Kota Madinah. Itu belum lagi perang uhud yang menyaksikan tentera islam terpaksa berhadapan dengan tentera lawan yang lebih besar. Pemergian saya ke sana dan cerita mutawwaif tentang sejarah tempat yang kami lawati menginsafkan saya. Betapa kita umat hari ini harus menjaga agama dengan sebaiknya. Susah macam mana pun kita hari ini, tidaklah sesusah Rasullulah dan para sahabat dahulu dalam menegakkan dan menyebarkan islam. Moga kita menjadi hamba yang lebih beriman. Amin.

4.  Bersyukur
Betapa saya sangat bersyukur sebab dapat pergi dalam keadaan yang lebih baik dari jemaah dari negara lain. Dapat tidur di hotel dan makanan yang cukup. Selesa beribadat. Sesetengah jemaah terutamanya dari negara India dan Pakistan, mereka hanya tidur di masjid dan makan roti yang dibeli kedai-kedai berdekatan. Kalau ada yang menetap di hotel, jarak hotel ke Masjidil Haram agak jauh. Jarak hotel kami ke Masjidil Haram memakan masa 15 minit dengan berjalan kaki.

5. Istiqamah dalam ibadat
Yang bestnya semasa di Tanah Suci, kita tak perlu fikir apa-apa selama dua minggu itu. Cuma fikir nak ibadat saja. Makanan, minuman dan penginapan telah disediakan oleh pihak Andalusia dengan selesa sekali. Tak ada gangguan kerja mahupun aktiviti-aktiviti yang biasa kita lakukan seharian. Sebab itulah boleh sembahyanag jemaah di masjid setiap waktu. Tapi bila balik di Malaysia agak sukar nak istiqamah. Memandang ada aktiviti-aktiviti kehidupan lain yang perlu dibuat. Saya berharap paling kurang dapat solat subuh, maghrib dan isya secara berjemaah dimasjid/surau setelah pulang ke Malaysia. Tapi yelah, saya masih struggle untuk itu. Doakan saya.

Pemergiaan saya ke tanah suci sesuatu yang tidak dapat dilupakan, memandangkan ini perjalanan pertama saya ke luar negara. Saya sangat bersyukur atas kesempatan dan jemputan yang diberikan oleh Allah SWT.

Saya berharap agar umrah saya diterima Allah SWT dan berharap agar semangat beribadat, untuk menjadi insan yang lebih baik dan berjaya yang wujud dalam diri selama dua minggu di kota suci dapat dibawa dan dikekalkan dalam kehidupan seharian. Malah sekarang, setiap kali saya mengimbau kembali saat mengerjakan umrah, saya tersenyum gembira keseoranga. Ia memberi semangat dan kegembiraan dalam hidup

Misi saya seterusnya, insya-Allah nak pergi haji pula..cewahh, tapi rasa macam susah nak pergi masa muda ni. Takpa, saya mungkin perlu fikir nak pergi umrah lagi, tapi kali ini di bulan Ramadhan pula...

Relaxlah!!!
11 March 2017
05:12 pm