Saturday, January 18, 2020

Kisah Orang Lain, Peringatan Buat Kita

Assalamualaikum dan salam sejahtera, 

Ada dua perkara yang sangat menyentuh hati saya sejak dalam beberapa minggu ini.

Pertama, kematian seseorang yang saya kenali sejak beberapa tahun lalu .Walaupun dah lama tak jumpa tapi kenangan bersama arwah sangat saya ingati sehingga kini. Arwah sangat baik orangnya, menjadi penyeri kepada rakan-rakan dan sentiasa mahu melihat rakan-rakan berjaya. Kematiannya menyebabkan saya tersentak, sedih mengenangkan kebaikan-kebaikan yang pernah dia lakukan dahulu. Dan sedih juga mengenangkan nasib saya sendiri suatu hari nanti. Kematiannya adalah peringatan akan perlunya membuat banyak kebaikan dan lebih menghargai orang disekeliling kita dan peringatan yang usia bukan selamanya ada pada kita. Arwah meninggal pada usia muda. Moga arwah tenang disana

Kedua, kisah Puteri Balqis, pelakon cilik yang kini hidupnya dihimpit kesusahan. Amat terkesan dengan kata-kata penuh matang dan positif yang ditunjukkan oleh Puteri dihadapan kamera. Ia tentu sekali sifat-sifat itu diturunkan oleh ibunya. Ibunya, dari raut wajah jelas menunjukkan dia menanggung banyak derita, kesedihan dan penderitaan namun tetap tabah menghadapinya. Paling terkesan, apabila ibunya menolak beberapa pertolongan daripada beberapa pihak dengan alasan jika semuanya ditolong, apa lagi yang tinggal untuk dilakukannya. Dia takut mungkin akan menjadi malas. Kisah Puteri dan ibunya ini sedikit sebanyak menyentap saya supaya lebih mensyukuri apa yang ada. Hidup yang saya nikmati sekarang adalah lebih baik berbanding 20 tahun lalu. Saya juga tersentuh apabila mendapat tahu mereka berdua pernah mengikat perut kerana ketiadaan wang dan hanya makan sehari sekali. Ia sesuatu yang pernah saya lalui dahulu walaupun tidaklah sampai tidak makan beberapa hari. Semangat ibu Puteri dan ketabahannya melalui kehidupan mengingatkan saya kepada apa yang ibu saya lalui dahulu, yang berbeza ibu puteri mempunyai seorang anak yang pada usia 13 tahun sangat matang dan memahami kehidupannya. Saya harapkan Puteri dan ibunya terus tabah menghadapai liku-liku kehidupan. Begitu juga anda semua. Ujian itu indah. Moga Puteri sembuh dari penyakitnya dan kembali belajar dan berjaya bila besar nanti.

Itulah dua perkara yang menjadi sangat bernilai buat saya sejak beberapa minggu lalu. Banyak perkara dalam hidup boleh dijadikan pengajaran tapi bukan semuanya akan menusuk hati dan menyentuh perasaan kita. Terima kasih Pencipta untuk peringatan ini.


Relaxslah!!!
A Peacemaker
Pulau Pinang
18 Januari 2020
7:10 pm