Amar merupakan seorang pemuda yang kuat bekerja. Keluarganya merupakan antara yang termiskin di kampung. Hidup mereka ‘ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.
Kesusahannya menyebabkan dia terpaksa berhenti sekolah seusia 16 tahun
untuk memberi peluang kepada adik-adiknya yang lain meneruskan
persekolahan. Sejak itu berbagai pekerjaan telah dia lakukan. Dia tidak
pernah peduli kerana sedar dia hanya berkelulusan PMR. Asalkan kerjanya
halal, dia tidak pernah menolak kerana segala-galanya adalah untuk
meneruskan kehidupan dan menyara ibu dan adik-adik yang disayangi.
Bapanya pula tidak bertangungjawab, meninggalkan mereka sekeluarga
sewaktu dia berusia 9 tahun. Sejak itu ibunya yang bertungkus lumus
bekerja menyara mereka lima sekeluarga tetapi kerana penyakit kronik
yang dihadapi ibunya, dia selalu merasa penat dan akhirnya dia sudah
tidak mampu lagi melakukan pekerjaan seperti biasa. Mengambil
tanggungjawab sebagai anak sulung, Amar tekad berhenti belajar dan
berkerja untuk menyara keluarga.
Suatu hari, sesuatu yang tidak dijangka berlaku. Dua orang adik
kesayangannya terlibat dalam kemalangan ketika menunggang basikal pulang
ke rumah. Selepas koma selama tiga hari, kedua-duanya menghembuskan
nafas terakhir. Amar seperti tidak percaya dan menangis sepanjang malam,
merintih pemergian orang tersayang. Dalam tangisan itu, dia berkata :
“Ya Tuhan, apakah dosaku sehinggakan semua ini terjadi
kepada ku? Sudahlah aku miskin, bapaku pergi tanpa rasa tanggungjawab
dan sekarang adik-adik yang aku sayangi dan sanggup aku lakukan apa
sahaja untuk mereka telah pergi. Kenapa ini terjadi kepada ku?”
Nurul adalah antara pelajar terbaik di universiti. Dalam usia 21
tahun, dia memang menarik perhatian ramai lelaki bukan sahaja dengan
keayuan wajahnya tetapi juga kerana sikap lemah lembut dan berakhlak
yang menghiasi dirinya. Sesiapa sahaja yang pertama kali bertemu dan
bertentang mata, pasti merasa tenang. Dengan kata-kata yang lemah lembut
dan penuh motivasi, dia boleh diandaikan sebagai wanita melayu idaman
lelaki.
Tidak apa yang perlu dihairankan kerana dia datang bukan
daripada keluarga sebarangan. Bapanya ialah ahli perniagaan manakala
ibunya pula ustazah disebuah sekolah agama. Dua orang adik lelakinya
masih bersekolah. Sejak kecil lagi, mereka memang diberi didikan agama.
Dia sentiasa bersyukur kerana dikurniakan keluarga bahagia. Setiap kali
cuti semester, dia pasti tidak melepaskan peluang untuk pulang ke rumah.
Bapanya adalah antara ahli perniagaan yang terkenal dan berjaya.
Syarikat kepunyaan bapanya mempunyai rangkaian di beberapa buah negara
Asia. Sehingga suatu ketika, akibat perbuatan khianat oleh musuh-musuh
perniagaan, syarikatnya muflis. Akibatnya, kerana tidak percaya yang
empayar perniagaan yang dibinanya telah runtuh, bapanya menghadapi
tekanan mental. Nurul sangat sedih terhadap perkara yang terjadi kepada
keluarganya tetapi dia redha. Dia percaya setiap yang berlaku ialah
ujian daripada Allah S.W.T untuk memguji keimanannya. Setelah beberapa
tahun, berkat usahanya dan keluarganya, bapanya kembali normal dan
membina kembali syarikat tersebut.
*********************************************************************************
Dua cerita yang saya bawakan diatas hanyalah rekaan semata-mata,
tetapi mungkin pernah anda temui dalam kehidupan seharian dan yang ingin
saya sampaikan ialah orang yang miskin dan merana hidupnya
kadang-kadang menjadi lebih miskin. Bagaimana? Setiap
kali ujian datang, dia selalu mengeluh dan mempersoalkan. Lain pula
dengan orang yang kaya terus menjadi kaya. Setelah sekian lama hidup
senang dan kemudian di timpa musibah, dia berupaya menerima hakikat
kehidupan yang manusia tidak selalunya berada di atas.
Namun ada
juga manusia yang hidup menderita, sengsara, miskin tetapi kerana
ketabahan menjalani kehidupan, berusaha dan yakin yang suatu hari nanti
nasibnya akan berubah, akhirnya dia berjaya keluar daripada kemiskinan.
Anak-anak yang dulunya ditatang dengan penuh kasih sayang, didikan
agama, dibesarkan dengan penuh kesusahan dan apabila besar dapat
menolong kembali si ibu bapa. Segalanya susah payah ibu bapa terbalas.
Dari
mana kita berasal, sama ada kaya atau miskin, keluarga bahagia atau
bermasalah tidaklah penting. Sebenarnya yang penting sejauh mana kita
telah melangkah dari tempat kita bermula. Kita tidak mempunyai hak untuk
menentukan dari mana kita dilahirkan. Semuanya telah pun ditentukan
oleh Allah S.W.T sebelum kita dilahirkan. Namun, kita sentiasa mempunyai
peluang ke mana dan sejauh mana kita mahu melangkah.
Jika anda
berada di titik A (andaikan sebagai titik paling bawah) dan setelah
bertahun-tahun berusaha, akhirnya anda berada di titik M. Bandingkan
dengan orang yang berada dititik D dan selepas beberapa tahun hanya
mampu berada di titik N. Jika dibandingkan, anda lebih berjaya kerana
anda bergerak lebih jauh darinya mamandangkan anda berada di titik yang
paling bawah.
Oleh itu, bersyukurlah kepada Allah S.W.T jika anda
sudah bergerak jauh dari tempat bermula dan kehidupan anda kini lebih
baik kerana tanpa kekuatan tenaga, semangat dan pemikiran yang diberikan
Allah S.W.T tidak mungkin anda mampu bergerak sejauh itu.
Realiti Sebuah Kehidupan : Kita Ialah Hamba Tuhan
Memang realiti sebuah kehidupan iaitu kita adalah hamba tuhan. Tidak
kira perkara yang kita lakukan semuanya dalam pengetahuan Allah S.W.T.
Kesedihan, kegembiraan, kemarahan yang dirasai adalah liku-liku
kehidupan yang menjadikan kehidupan kita penuh warna-warni.
Sedarkah
kita yang kadang-kadang kita berusaha sedaya mungkin tetapi masih gagal
merealisasikan cita-cita dan harapan. Kita bukannya tidak bekerja
bersungguh-sungguh, malah telah mencuba yang terbaik untuk meningkatkan
prestasi dibidang yang kita ceburi.
“Apakah pilihan kita?”
Jika
kita berasa kecewa dengan apa yang kita miliki tentu kita akan terus
beroleh kekecewaan. Perkara yang kita fikir itulah yang kita akan dapat.
Lebih baik untuk kita muhasabah diri dan merenung hikmah yang
tersembunyi disebalik perkara yang terjadi. Jika kita memilih untuk
terus berusaha dan tidak membelakangkan Allah S.W.T, pastinya kita akan
diberi laluan untuk berjaya kelak.
Pada masa yang sama, jangan
lupa untuk mencari tempat untuk meluahkan perasaan. Manusia memerlukan
manusia lain untuk hidup. Hiduplah bermasyarakat supaya di waktu kita
susah, ada yang sudi membantu dan mahu berkongsi cerita. Orang yang
mempunyai masalah dan tidak menjumpai tempat meluahkannya akan merasa
bebanan, dia akan merasai kehidupan di dunia terlalu berat dan sarat
dengan masalah. Perasaan ini jika tidak dikawal boleh menyebabkan
berlakunya perkara-perkara yang tidak diduga. Justeru, untuk bangkit
semula kita harus mencari teman dan rakan yang dipercayai dan akan
bersama-sama melayari kehidupan dengan kita.
Ujian : Bukan Untuk Dikesalkan
“Pernahkah anda rasa keseorangan, rasa tidak mempunyai sesiapa, rasa yang hidup anda sudah tidak berguna?”
Kepulangan
anda ke kampung halaman tidak sangat bermakna. Orang lain hidup dalam
keadaan bahagia dan gembira dengan keluarga, anda pula rasa tertekan.
Kawan yang dulunya sama-sama bergelak ketawa, kini menjadi lawan.
Janji-janji manis mahu sehidup semati bersama kekasih kini menjadi cuka
kehidupan yang cukup perit untuk ditelan.
Sesungguhnya Allah
S.W.T, Maha Mengetahui. Justeru, usah dikesal dan dirungut jika ujian
datang tanpa disangka dan tanpa diminta. Hadapinya dengan penuh
ketenangan dan percaya yang Dia akan sentiasa bersama kita selagi kita
percaya. Tiada siapa yang boleh memberi jaminan bahawa kita akan kekal
menjadi diri sendiri tatkala kita berada di puncak. Kita mungkin berubah
tanpa kita sedari, namun segala sesuatu yang akan berlaku esok sudah
berada di dalam genggaman-Nya.
Allah S.W.T mencintai kita lalu dia
memberi ujian untuk melihat sejauh mana kesabaran dan keimanan kita
sebelum kita mencapai ke puncak. Tujuannya, agar kita sentiasa
mengingati-Nya dalam perjalanan kita mencapai impian diri. Namun
manusia, seringkali melupakan tanggungjawabnya sebagai hamba sewaktu
senang. Apabila musibah datang, barulah mahu diingati pencipta-Nya dan
pada waktu ini, bibir mula tidak kering dari meminta pertolongan Allah
S.W.T, meminta agar diberi kesabaran dalam menempuh ujian-Nya. Baru kita
ingat akan musibah itu ialah ujian. Di waktu senang, kita lupa tentang
ujian daripada Allah S.W.T untuk melihat masih bolehkah kita
mengingti-Nya atau terus hanyut dalam kesenangan hidup di dunia.
Namun,
selalu kita kehairanan. Sudah letih bibir menyebut nama Allah S.W.T,
meminta agar diberi pertolongan dan kekuatan untuk bangkit semula
daripada kegagalan. Hidup ini terasa perit dan jerih tetapi sayang, doa
masih tidak dimakbulkan. Jadi, adakah kita mahu berputus asa? Usah begitu kerana Allah S.W.T masih mahu kita merintih kepada-Nya sebelum doa kita dimalbulkan.
Kita
sudah lama hidup dalam kesenangan jesteru apabila jatuh, Allah S.W.T
memberi masa yang lama dan panjang untuk bangkit semula dengan harapan
agar kita sedar dan bangun daripada tidur yang panjang. Jadi, apabila
kita sudah berada dipuncak semula, kita tidak akan mengulangi perkara
yang telah berlaku yakni hanya mengingati Allah S.W.T di waktu susah.
Firman Allah S.W.T :
أَحَسِبَ
النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لا يُفْتَنُونَ
(٢)وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ
الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ
Maksudnya : Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan
saja mengatakan; “Kami telah beriman,” sedangkan mereka tidak diuji? Dan
sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka
sesungguhnya Allah S.W.T mengetahui orang-orang yang benar dan
sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”
(Surah Al-Ankabut : 2-3)
Jadi ingatlah, yang penting di dalam kehidupan adalah sejauh mana kita
telah melangkah dari tempat kita bermula. kita tidak punyai pilihan
untuk menentukan tempat kita bermula kerana itu adalah takdir Allah
S.W.T tetapi kita mempunyai kemampuan untuk ke mana dan bagaimana kita
melangkah. Di dalam langkah kita itu, pasti akan diberi ujian. Namun,
ujian itu bukan untuk ditangisi dan dikesalkan tetapi untuk menguatkan
keimanan kita kepada Allah S.W.T.